Wa Islamah…. Bersatulah.


Setiap jemaah dan persatuan mesti ada kepimpinan. Jemaah terjaga kalau ahlinya memberikan sokongan dan dokongan kepada pimpinan. Begitu juga jemaah Islam. Begitu juga PAS. Kita bertangungjawab memberikan wala’ kepada pimpinan. Di sudut lain pula kita mengamalkan demokrasi dalam pemilihan pimpinan jemaah dengan dibuat muktamar selain wujudnya syura yang membuat penapisan. Pimpinan yang terpilih itulah yang kita patut beri sokongan sehingga waktu muktamar seterusnya yang memberi pilihan kita memilih semula.

Proses ini akan berterusan walaupun pimpinan semasa itu tidak kita gemar. Hanya kita yang tidak suka. Orang lain yang majoriti itu suka. Perkara biasa sahaja jika ada yang suka dan tidak suka kepada pimpinan. Namun orang tidak suka tidak boleh membuat sesuatu kenyataan atau kelakuan yang jelas menunjukkan sikap tidak menyokong itu. Penting hal ini supaya jemaah akan terus bergerak. Maju mendepani cabaran semasa. Soal suka tidak suka perlu diketepikan selama pimpinan tidak membawa kepada maksiat dan kerosakan jemaah.

Jika orang yang tidak suka pimpinan menunjukkan belangnya samada dengan lidah atau tangan mereka, memang masalah besar akan melanda jemaah. Arahan pimpinan akan tersekat. Perjalanan parti akan jadi tidak seimbang di pihak yang menentang. Kalau sikap ditunjukkan dengan lidah pula, akan keluar kenyataan yang menggugat keharmonian jemaah. Sahut menyahut yang timbul bukan sekadar sahut menyahut bertanya khabar. Ia menjadikan suhu suasana dalam jemaah menjadi panas. Orang yang baru berjinak dengan jemaah akan mudah tawar hati untuk menunjukkan kecenderungan mereka. Kalau mereka memang orang aktif, mereka mungkin berfikir-fikir pula untuk mengubah kecenderungan. Ahli yang ‘hanya berdaftar’ yang siap sedia berdiam selama ini, akan bertambah berat mulut menjelaskan keahlian dan sokongan kepada jemaah Islam. Bahkan menjauh. Pendokong yang selama ini samikna wa atokna untuk menjalankan kerja-kerja jemaah yang datang dari pimpinan, mungkin pula akan mengubah dari sikap bekerja kepada bercakap, berdebat dan bising-bising. Hanya semata mempertahankan pandangan. Itulah bahananya sebuah kenyataan menyongsang.

PAS sudah jadi begitukah? Saya tidak pasti. Mungkin belum. Kalau pun ya, hanya kerana ditambah panas oleh media musuh. Sehingga artikel ini tersiar tidak pasti pula samada musibah ketidakpercayaan ini masih panas, bertambah panas atau sudah sejuk. Namun perlu diambil kefahaman oleh semua yang kita perlu wehdatul fikr dan wehdatul amal. Inilah yang asas dalam keteguhan parti. Maksdu saya yang mampu meneguhkan parti. Kita bukan bersatu dengan wang. Bukan dengan perkauman. Bukan juga dengan ketidakpuashatian kepada kerajaan. Hanya Islam. Agama nabi akhir inilah yang menyebabkan kita berada dalam jemaah ini.

Kita tahu juga yang sekuat mana jemaah itu, tetap ada mehnahnya. Al Ikhwanul Muslimun itu pun pernah berlaku hal yang hampir serupa. Tidak puas hati dengan keputusan pimpinan. Dek kerana tidak mampu menguasai jemaah dengan pandangan mereka, mereka menubuhkan jemaah asing pula. Jemaah Islam juga yang rugi.

EGM, Ijtimak Ghairu ‘Adiy, dan Mesyuarat Agung Tergempar bukanlah jalan terbaik untuk masalah kita sekarang. Lihat sahaja MCA. Macam buang karan. Semuanya hanya kerana tidak dapat menerima keputusan pimpinan. Tapi MCA itu masih nampak lagi keperluannya. Walaupun keputusan akhir EGMnya tidaklah menampakkan hasil yang terbaik untuk partinya. Dilihat pula kepada PAS. Bolehlah saya lihat yang memang tiada keperluan langsung untuk membuat EGM. Akhirnya nanti masing-masing hanya dapat hampas. Selepas itu bercakaran lagi berhempas pulas. Menampakkan kerakusan pihak-pihak yang tidak berpuashati. Apa bezanya dalam hal PAS ini antara menerima kepimpinan pilihan muktamar tahun ini dengan pilihan muktamar Ghairu Adiy?

Saya yakin tiada bezanya selain memberikan pedang kepada musuh jemaah memancung keteguhan setiap satu prinsip jemaah Islam yang dipegang oleh ahli jemaah.



penulis ialah Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kuala Langat

0 ulasan:

Post a Comment