Sultan Selangor selamat kembali ke tanah air


Sultan Selangor selamat kembali ke tanah air

SEPANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selamat pulang ke tanah air hari ini, selepas menjalani pembedahan jantung (Mitral Valve Repair) di Pusat Perubatan Stanford University di Palo Alto, California pada 2 Mei lepas.

Pesawat yang membawa baginda mendarat kirakira pukul 3.40 petang dekat Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Sebaik turun daripada pesawat, baginda yang berjaket coklat dan berseluar hitam kelihatan ceria sambil bersalaman dengan kenamaan dan pegawaipegawai kanan kerajaan negeri Selangor yang menunggu ketibaan baginda.

Turut berangkat hadir menyambut ketibaan baginda ialah Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar dan beberapa anggota exco Selangor turut menyambut ketibaan baginda.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Sultan Sharafuddin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua rakyat yang telah mengadakan sembahyang hajat serta mendoakan keselamatan baginda.

Sementara itu doktor peribadi baginda, Datuk Dr Anuar Masduki berkata Tuanku masih perlu berehat dan dinasihatkan tidak melakukan tugastugas rasmi sekurang-kurangnya selama enam minggu.

"Kesihatan Tuanku bertambah baik tetapi masih dalam jagaan dari segi ubat yang diperlukan. Rawatan susulan pula akan dibuat di Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya selain itu saya juga akan datang ke istana berkala," katanya ketika ditemui pemberita.

Sultan Sharafuddin berangkat ke California pada 29 April, diiringi adindanya Tengku Indera Setia Selangor Tengku Ahmad Shah, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Selangor Datuk Zakaria Abdul Rahman, dan Ahli Dewan Diraja Selangor Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir. BERNAMA

0 ulasan:

Post a Comment