kenyataan Media DPPNS



KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengucapkan setinggi-tinggi TAHNIAH kepada YB. Dr. Abdul Rani bin Osman, ADUN Meru merangkap YDP Kawasan Kapar di atas perlantikan beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang baru. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor selaku sayap kanan parti akan sentiasa komited dan istiqamah di dalam usaha untuk membantu Pesuruhjaya di dalam menggerakkan jentera parti di semua peringkat bagi menghadapi segala cabaran dan rintangan politik negeri Selangor khususnya dalam persiapan untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 nanti. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan PKR Selangor yang mengatakan perlantikkan YB. Dr. Abdul Rani sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang baru akan menjadi “mimpi ngeri yang berpanjangan” kepada UMNO/BN Selangor.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga merakamkan ucapan TERIMA KASIH yang tidak terhingga kepada mantan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, YB. Dato’ Dr. Hassan bin Mohamed Ali, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor merangkap ADUN Gombak Setia di atas segala khidmat dan usaha keras beliau di dalam memartabatkan perjuangan PAS dan memantapkan Pakatan Rakyat Negeri Selangor sehingga mencapai kemenangan bersejarah memerintah Negeri Selangor di dalam PRU ke 12 yang lalu sangatlah dihargai oleh seluruh saf pimpinan Pemuda Negeri dan Kawasan-kawasan.

Selain itu juga Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menasihatkan supaya Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor, Dato’ Satim Deman supaya menjaga urusan partinya sendiri daripada meminta YAB Datok Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggugurkan YB. Dato’ Dr. Hassan bin Mohamed Ali daripada Kabinet EXCO Negeri Selangor selaras keputusan PAS tidak melantik beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor. Ingin Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mempertegaskan bahawa jawatan YB Dato’ Dr. Hassan sebagai EXCO Negeri Selangor adalah hasil daripada persetujuan bersama kepimpinan Pakatan Rakyat Negeri Selangor dan tidak membabitkan perubahan kepimpinan di peringkat sesebuah parti. Janganlah UMNO berlagak seperti anjing yang menyalak di luar rumah cuba mengambil kesempatan mencari publisiti politik murahan dengan mencampuri urusan parti orang lain sedangkan partinya sendiri penuh dengan masalah. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan PAS dan Pakatan Rakyat Negeri Selangor cukup arif dan berpengalaman dalam mentadbir urus Negeri Selangor dan parti masing-masing tanpa campurtangan daripada pihak luar. Ketua pembangkang Dewan Negeri Selangor sepatutnya menasihatkan Ketua Pemuda UMNO Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal dan Ketua Pemuda UMNO Selayang, Dato’ Sohaimi Shahadan supaya tidak gopoh dalam mempertikaikan khutbah Jumaat baru-baru ini yang bertajuk “Janayah Qazaf adalah berdosa BESAR” daripada. Ini adalah kerana Qazaf dan Hudud sama seperti Sembahyang, Puasa dan perintah-perintah lain yang terdapat di dalam Al-Quran adalah perintah Allah dan wajib dilaksanakan.. Janganlah menjadi seperti pepatah Melayu “seperti ayam berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi”.

HASBULLAH MOHD RIDZWAN

KETUA DEWAN PEMUDA PAS

NEGERI SELANGOR

14 Jun 2011

0 ulasan:

Post a Comment