BRIGED AMAL MENERITIP DI ATAS BUKIT TABUH


catatan: Assaury..

Maaf man,gambar takleh upload..



BRIGED AMAL MENERITIP DI ATAS BUKIT TABUH

Pada 18 dan 19 2009 Briged Amal Kuala Langat telah diadakan ekspedisi Bukit Tabuh dengan kerjasama IXC Training dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sijangkang. Program yang julung-julung kali diadakan itu bermula dengan majlis perasmian oleh ADUN Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus b. Hj. Hairi di Masjid Sungai Rambai. Dalam ucapannya, Dr Yunus amat mengharapkan agar belia dapat mencurahkan bakti semaksimanya ke dalam masyarakat bagi merealisasikan kehendak Kerajaan Negeri Selangor yang mahukan penyertaan belia dalam kerja-kerja membangun negeri. Selain itu, program ini juga merupakan kesinambungan program Belia Dalam Masyarakat yang dilancarkan baru-baru ini di Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang.

Selepas bersarapan dan sesi bergambar, seramai 67 orang peserta ekspedisi mula bergerak dengan beberapa buah kereta dan van. Perjalanan melalui Kg Jenjarom, Kebun Baharu, Kota Kemuning dan Bukit Rimau seterusnya merentas KESAS menuju Taman Melawati Ulu Kelang. Bermula jam 10.45 pagi, perjalanan tersebut mengambil masa lebih kurang sejam setengah untuk sampai ke destinasi.


Untuk hari pertama, pengisian santai diadakan bagi memberi rehat yang cukup disampang menghubungkan hati para peserta. Antaranya, solat jemaah, sesi taaruf, latihan berkawat, mandi-manda di sungai, dan motivasi jiwa belia. Dalam sesi taaruf selain mengenali sesama peserta, semua yang hadir juga dapat berkenalan dengan Saudara Aswad, Saudara Zaharudin, Saudara Malik dan lain-lain yang merupakan penunjuk jalan yang sudah terbiasa dengan kerja-kerja pendakian.Walaupun agak keletihan dengan perjalanan yang jauh ditambah dengan kerja-kerja yang perlu dibuat, para tetap menunjukkan komitmen terhadap pengisian yang disediakan. Semangat persaudaraan dan kegembiraan menanti hari pendakian diterjemahkan ke dalam senyum tawa dan ramah mesra.

Hari kedua pula bermula dengan solat subuh dan kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Aziz. Tepat jam 8.20 pagi selepas siap sarapan, peserta kelihatan sudah siap dengan pakaian Briged Amal berbaris menerima arahan kawat. Taklimat pendakian juga diberikan oleh penunjuk jalan yang sedia membantu perjalanan para peserta. Selain itu para peserta juga bersama-sama bersenam bagi merenggangkan otot-otot kaki dan tangan.

Jam 8.45 pagi ekspedisi pun bermula. Seramai 59 orang peserta termasuk empat orang penunjuk jalan bergerak mendaki Bukit Tabuh yang sangat mencabar. Sepanjang perjalanan peserta dapat melihat pemandangan yang indah dengan kepelbagaian jenis tumbuhan dan batu-batan. Kelihatan juga Ulu Kelang yang dikawal selia oleh Syabas. Dari atas bukit juga dapat dilihat taman-taman perumahan dan kawasan hutan yang menjadi gondol kerana pertumbuhan projek-projek baru. Melepasi beberapa puncak peserta dapat melihat dari atas kawasan Universiti Islam Antarabangsa.

Selain laluan tanah, belukar, pokok-pokok tinggi, para peserta juga terpaksa memalui laluan batu-batu besar yang sangat mencabar. Boleh dikatakan terdapat enam puncak yang perlu diredah selain puncak terakhir yang menjadi pilihan kepada peserta. Turun melalui dusun buah-buahan, mata peserta dihidangkan dengan pelbagai pokok-pokok buah-buahan yang kebanyakannya tidak berbuah ketika ini.

Peserta terakhir sampai ke tapak perkhemahan semula ialah pada jam 1. 35 minit tengah hari. Setelah berehat, bermandi-manda, dan solat Zuhur, peserta mula bergerak pulang ke Kuala Langat.

SOROTAN PERASAAN

Saya berasa sangat gembira dapat menyertai pendakian kali ini. Saya sangat yakin tidak banyak pendakian sebegini yang melibatkan peserta yang terlalu ramai. Ini adalah satu kelainan dalam program kali ini. Di peringkat awal saya berpendapat pendakian ini hanya melibatkan sebuah bukit sahaja. Saya sendiri tidak pasti apa yang membuatkan saya berfikiran begitu. Mungkin kerana nama Bukit Tabuh itu sendiri jarang saya dengar. Ia bukan tempat yang terkenal. Jangkaan saya silap. Perjalanan selama empat jam setengah itu rupanya memaksa saya untuk melepasi tujuh puncak yang sangat mencabar bagi pendaki amatur seperti saya. Pada hari pertama ada suatu persoalan yang timbul dalam benak fikiran saya apabila seorang Pakcik yang saya temui di Masjid Mardhiyah bersungguh-sungguh menasihatkan saya berhati-hati mendaki Bukit Tabuh. “Hati-hati mendaki. Tahukan banyak kes yang berlaku di situ?” katanya menasihati. Saya anggukkan sahaja walaupun saya tidak tahu sebenarnya apa yang pernah terjadi di situ.

Pada pagi hari pendakian pula penunjuk jalan menunjukkan kami sebuah bukit berhampiran yang terjadi kes kematian seorang doktor pakar yang dikatakan mendaki seorang diri. Memang kalau dilihat keadaan bukit tersebut, kita sendiri dapat mengagak betapa bahayanya cerun-cerun yang ada di situ.


Namun semua itu tidak mampu menghapuskan keterujaan saya untuk menggapai puncak Tabuh. Semangat sangat berkobar untuk menghabiskan pendakian. Walaupun begitu beberapa tanda tempat berlaku beberapa kes jatuh ketika mendaki yang sebahagiannya menyebabkan kematian sangat mengingatkan saya untuk tetap berhati-hati. Banyak juga kawasan yang menguji kecekapan. Pendedahan ripeling dan wall claimbing secara ringkas yang terima sebelum ini mungkin lebih membantu untuk melepasi tempat-tempat yang sangat curam.

Alhamdulillah pendakian berakhir dengan kesemua 55 orang peserta selamat pergi dan balik tanpa sebarang kecederaan serius. Apa yang lebih penting rasa kebersamaan yang ditunjukkan dalam beberapa kumpulan yang bergerak bersama terutama apabila terdapat sebahagian peserta yang terpaksa memberi fokus lebih apabila berlaku hal kurang keyakinan dan penat yang keterlaluan sedari sejam pertama lagi. Motivasi penunjuk jalan dan rakan-rakan membantu sahabat tersebut untuk meneruskan perjalanan.


Terima kasih Saudara Badrul yang sudi mengepalai program yang sangat berharga ini. Terima Khairul Nizam, Ketua Briged Amal Kuala Langat yang baru dua bulan tapi mampu menggerakkan ahli briged. Terima kasih semua AJK DPPKL, Unit Amal Kuala Langat, IXC Training dan Pusat Khidmat DUN Sijangkang. Tidak lupa juga pendaki profesional berempat yang sudi membantu dan semua peserta.

Harapan saya agar peluang keemasan sebegini akan datang lagi dalam hidup saya. Bukanlah niat saya menjadi pendaki profesional kerana jaminan keselamatan hanya di tangan Allah. Apa yang penting ialah pengalaman hidup, penelitian ciptaan Tuhan, dan mengakar kebesaran Tuhan dalam hati. Moga-moga apa jua kerja yang dilakukan akan membawa kita merintis jalan menuju keredhanNya.

0 ulasan:

Post a Comment