SEMPENA KONSERT SINAR FM


DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

No.12C, Tingkat 3, Blok 1, Bangunan Pusat Perniagaan Worldwide,Jalan Tinju 13/50, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor. Malaysia.

TEL : 603-5513 4180, FAX : 603-9283 8835, H/P : 019-323 8455

Emel : penerangan.dppns@gmail.com


KENYATAAN MEDIA


SEMPENA KONSERT SINAR FM DI DATARAN MBPJ PADA 15 OGOS 2009.

Sepertimana yang diiklankan, bahawa satu konsert besar akan diadakan pada 15 Ogos 2009 di Dataran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Konsert yang dianjurkan oleh Sinar FM itu khabarnya akan menampilkan ramai artis-artis terkemuka tanahair.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyatakan pendirian bahawa kami meraikan penganjuran tersebut disamping mencadangkan beberapa garis panduan untuk setiap penganjuran konsert atau apa saja acara yang melibatkan artis dan penonton yang hadir.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) sendiri telah mengadakan beberapa siri konsert yang menampilkan artis-artis tersohor laki-laki dan perempuan tetapi dibuat dengan berpandukan garis panduan yang selari dengan hukum syarak.

Izinkan kami sarankan beberapa cadangan yang boleh sama-sama kita usahakan demi kebaikan semua. Berhibur tidak salah asalkan tidak melanggar batas syarak sebagai seorang islam dan nilai moral sebagai seorang insan.

1. Memisahkan penonton laki-laki dan perempuan.

Pihak penganjur mempunyai hak dan kuasa untuk mengkelaskan tempat untuk lelaki, tempat untuk perempuan dan tempat untuk suami isteri serta keluarga.

Bagi mengawal dan mengelakkan dari akibat yang tidak baik. Umum mengetahui bahawa majoriti peserta adalah dari golongan muda yang nafsunya sedang liar.

2. Sarankan agar artis menampilkan imej yang sesuai serta masih dalam ruanglingkup moral, sopan dan budaya ketimuran dari sudut pemakaian dan pertuturan.

Para artis juga boleh memberi sumbangan besar kepada pembentukan akhlak yang baik kepada masyarakat kerana para artis adalah idola para peminat hinggakan mereka meniru pakaian dan perbuatan artis kesukaan mereka.

3. Pemilihan lagu-lagu yang berunsur nasihat, ketuhanan dan seruan ke arah kebaikan.

Untuk mendidik jiwa peminat agar mereka lebih cenderung melakukan kebaikan bagi menjadi masyarakat yang bersahsiah dan berakhlak tinggi.

4. Menghormati waktu solat (maghrib dan isyak).

Menyedari bahawa bangsa melayu yang beragama islam adalah golongan yang paling ramai menghadiri konsert yang bakal diadakan ini, maka memang menjadi kewajipan kepada mereka untuk mendirikan solat, mungkin ramai penonton yang hadir tidak menunaikan solat tetapi yang penting pihak penganjur telah menyediakan ruang dan masa untuk mereka mengerjakannya.

Kami difahamkan bahawa penganjuran ini akan bermula jam 8.30malam, Kami sarankan agar konsert dimulai selepas solat fardu isyak.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Mursyidul ‘Am PAS berulangkali menyebut bahawa nyanyian dan hiburan itu tidak salah tetapi mestilah mengikut batas-batas syarak. Islam diturunkan bukan untuk menyekat kebebasan tetapi untuk mengawal agar kebebasan dipagari dengan panduan yang dapat menjamin iman, maruah dan aqidah terpelihara.

Apakah makna kebebasan jika akhirnya membawa ke arah kemaksiatan kepada Allah seterusnya mendapat ‘penjara akhirat’ yang mengerikan. Kebebasan sebenar ialah bebas dari ancaman neraka Allah.

Sekian.

ZULKIFLI AHMAD

KETUA PENERANGAN

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

11 OGOS 2009

0 ulasan:

Post a Comment