CINTA JIHAD

Hari ini hari penghulu segala hari. 26 Jun. Terlalu banyak keisti8mewaan yang Allah sediakan kepada sesiapa yang sudi merebut ganjaran pahalanya. Hadir awal ke masjid merupakan salah satu perkara tuntutan kepada Muslimin. Pahala unta, lembu, ayam dan telur telah siap sedia untuk dibahagi-bahagi. Untungnya sesiapa yang ada kelapangan untuk hadir awal. Bagi yang bekerja hari Jumaat juga sepatutnya boleh mendapat ganjaran pahala terbaik. Cuma kita terkadang lapar. Makan dahulu. Mengantuk tidur dahulu. Acara lain? Banyak. Semuanya bergantung kepada kesungguhan kita.
Saya sendiri sebenarnya termasuk antara golongan yang kurang beruntung. Hanya semata terpaksa melayan mata dahulu. Sampai sahaja ke Masjid Hidayah Telok Panglima Garang, kedengaran sudah suara bilal sayu mengumandangkan azan pertama. Rugi pada hari ini berganda sebenarnya kerana tidak dapat mendengar Tazkirah sebelum Jumaat.
Azan hari agak berlainan bunyinya dengan azan hari-hari yang lain. Tidak mengapalah. Tetapi apabila direnung-renung khatib yang ada siap di atas mimbar juga orang agak asing bagi masjid ini. Cuma saya rasa seperti mengenalinya cuba diingat-ingat. Tidak ketemu jawapan.
Khutbah bermula. Gaya penyampaiannya sangat berbeza dari biasa. Bukan memandang rendah pada Imam sedia ada. Tetapi khatib ini ada kelebihannya. saya sungguh-sungguh melihat wajah si khatib. Isi khutbahnya juga saya amati sebaiknya. Memang sangat menarik perhatian saya. Kelihatan sidang Jumaat yang lain juga memberi tumpuan. Ada yang mengangguk-angguk. Saya rasa dia adalah Ustaz Zubir bin Embong. Kalau tidak silaplah.
Antara perkara penting dalam khutbahnya ialah berkaitan dengan perasaan umat Islam terhadap saudara seislam yang sedang dalam penderitaan. Beliau juga menyebut berkaitan pengukuhan institusi masjid yang sepatutnya menjadi tempat persaudaraan, program sosial dan sebagainya. Saya sangat terasa dengan satu ayat yang dibacanya. Cebisan dari surah At-Taubah. Firman Allah:

Maksudnya:
. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka).
( Surah At-Taubah ayat 24)

Ayat ini sangat hampir sebenarnya dengan telinga para pejuang agama Allah, walaupun ayat ini sebenarnya melibas setiap pipi-pipi umat Islam. Jelas sekali Allah mahukan kita meletakkan kecintaan teragung kita hanya kepada Allah, Rasul dan Jihad. Apabila hal ini terealisasi agama Allah Allah pasti akan menjadi seperti mana yang disebut oleh Nabi “Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.”
Memang jika semua manusia di dunia ini menghina Islam pun, ia tetap mulia di sisi Allah. Mulia yang saya katakan Islam akan mulia itu ialah seluruh manusia akan melihat Islam sebagai penaung keadilan, merasakan Islam benar-benar agung, dan menutup setiap mulut yang dengan bongkak mendabik dada mengatakan dia mampu menghurai 1001 kesilapan Quran, 1001 ketidakadilan Islam, 1001 tasybih kenabian Muhammad SAW bahkan 1001 ketidakbenaran aqidah bawaan penghulu Rasul.
Kembali melihat ayat di atas, di sini kita perlu koreksi diri. Selaku orang yang menjadikan Islam sebagai wadah perjuangan, apakah yang menjadi kecintaan dalam diri kita? Jika bangun pagi sibuk memikir bagaimana untuk menambah kekayaan. Setiap masa mulut hanya bercakap cara membesarkan rumah yang sedia besar. Sentiasa sahaja teringat kecantikan kereta mewah yang sangat diangan-angankan. Belum lagi dengan kecintaan kepada keluarga, Isteri dan anak-anak. Adakah ini semua menunjukkan kita melebihkan Allah, Rasul dan jihad? Bukan bererti di sini kita perlu menghilangkan cinta-cinta yang lain. Kita masih perlu sayangkan rumah, harta, keluarga dan lain-lain. Tetapi jangan sampai cinta-cinta itu menjadikan cinta Allah, Rasul dan Jihad terkemudian. Bererti hati kita harus menyimpan 1001 kecintaan. Mungkin contoh yang dibawa agak jauh dari kita. Pada pandangan sebahagian kita. Lihat pula bagaimana kita mengutamakan Jemaah dari lain-lainnya. Amat malang jika program Jemaah tidak mendapat sokongan dari ahli Jemaah sendiri. Sibuk mencari kelemahan dalam program yang diatur. Lupa agaknya untuk memberi idea, bantuan tenaga, wang ringgit. “mahal la…”, “ Memalukan PKM betul”, “Apa punya Unit Amal la…. Tak bergerak”. Seharusnya kalimah-kalimah seperti ini ditukar dengan kalimah-kalimah yang menunjukkan sebuah perbincangan. Bukan mengkondem. Cukuplah dengan musuh yang sedia ada. Jangan kita membina persepsi permusuhan dalam Jemaah yang mulia ini.
Semoga di minggu-minggu mendatang, saya akan diberi kekuatan lagi menyampaikan di medan ini hasil tadahan khutbah Jumaat.

0 ulasan:

Post a Comment