JEMAAH JUGA YANG TERKORBAN

JEMAAH JUGA YANG TERKORBAN

nukilan: Ustaz Nuresman B Ramli ( S/U DPP KL)

‘Tiada Islam tanpa Jamaah.’

Biasa sahaja kata-kata hikmah ini meniti bibir para penceramah, menjadi hasil tinta para penulis membuatkan hampir setiap orang yang meneliti tulisan-tulisan berkaitan haraki dan para pencinta ceramah pembakar jiwa perjuangan dapat mengesan kalimah keramat ini dengan begitu mudah. Memang sangat cantik ayat pendek ini. Menunjukkan betapa Islam ini akan maju dan berkembang dengan kerja-kerja yang dibuat secara kolektif. Lebih tersusun. Malah mampu berhadapan dengan seribu rintangan dengan suatu mekanisme: saling menguatkan.

Sesungguhnya keindahan Islam ini telah banyak diperbincangkan. Dan bukan itu yang ingin dibincangkan di sini. Cuma bagaimana keindahan itu akan dirasai oleh seluruh umat akhir zaman ini. Itu fokus kita. Hal ini sangat berkaitan dengan dakwah yang menjadi akar asas agama suci dari langit ini. Ketepuan aliran dakwah dalam masyarakat hanya akan mengakibatkan kefahaman Islam terperuk di suatu sudut, dalam masa sama kejahilan, kezaliman, dan keruntuhan akhlak tetap menjadi virus yang sangat mudah merebak dan berjangkit. Jangkitannya tidak hanya kepada masyarakat yang rendah pengetahuannya, bahkan lulusan pHD bahagian Tasawwuf pun tidak selamat jika antibodi iman dan taqwa tidak bertindak.

Untuk itu dakwah perlu disuburkan. Amar ma’ruf Nahi munkar. Itulah isi dakwah. Bil hikmah Wal Mau’izatil Hasanah. Itulah kaedahnya. Cuma seboleh-bolehnya dakwah ini dibuat dalam sebuah jamaah. Bukan tidak boleh berserangan. Tidak salah bersendirian. Kerja dakwah itu tetap akan mendapat bantuan Allah jika menepati Aulawiyat semasa. Dengan maksud; tahu kaedah mana yang utama pada masa ini, tahu apa ini yang utama perlu disampaikan. Cuma dengan berjemaah mad’u akan melihat dakwah itu bergerak secara besar-besaran. Tiada ruang untuk melarikan diri dari bertemu dengan si da’ie lagi selepas ini kerana kumpulan ini ramai dan akan dijumpai di mana-mana jua. Di sini dapat dilihat betapa cantiknya kata-kata indah ini.

Firman Allah :

žwÎ) (#rãÏÿZs? öNà6ö/Éjyèム$¹/#xtã $VÏ9r& öAÏö7oKó¡our $·Böqs% öNà2uŽöxî Ÿwur çnràÒs? $\«øx©3 ª!$#ur 4n?tã Èe@à2 &äó_x« 퍃Ïs% ÇÌÒÈ

Maksud ayat :

39. jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela ugamanya), Allah akan menyeksa kamu Dengan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya dan ia akan menggantikan kamu Dengan kaum Yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

(Ayat 39 Surah A-Taubah)

Tetapi bukan bermakna Islam pasti hancur bila tiada jamaah. Kerana Allahlah penjaga sebenar jamaah ini. Pencipta agung ini ada caranya sendiri untuk menjaga agamanya. Telah dijelaskannya jika kita sendiri tidak berjuang, Dia akan gantikan dengan golongan lain yang pasti akan terus membawa Islam ke puncak gemilang. Islam tidak berkudis sedikit pun. Jelasnya, jamaah Islam akan terus hidup dan dijaga walaupun ribuan kaki-kaki yang pernah diberi peluang tertegak atas landasan perjuangan mundur, gugur, berpaling bahkan mengkhianat.

Lihat sahaja Turki, sebuah Negara yang dahulunya penyimpan kesinambungan khilafah Islam, diranapkan kegemilangan itu dengan kesungguhan sebuah perancangan yang sangat tersusun. Namun Islam tidak hilang. Tekanan demi tekanan tidak mampu mencabut akar Islam yang pernah tertanam, terpasak dalam. Dekad ini, kita melihat percubaan dan usaha yang dibuat oleh para pejuang di sana untuk mengembalikan kegemilangan yang penah dicapai.

Bagaimana dengan kita? Perjalanan masih jauh. Dalam jarak yang sangat singkat dalam perjalanan kita bersama jamaah ini pun kita dapat melihat ciri-ciri keguguran dari medan di sekeliling kita. Hanya kerana malas program jemaah ditinggalkan. Persepsi buruk terhadap atasan membuat kita mengabaikan mesyuarat. Berkebun yang menjadi kerja tambahan sahaja pun masih mampu mengikat hati kita lantas menjadikan sahabat dua tiga orang sahaja yang menggerakkan program jamaah. Berziarah orang yang setiap minggu diziarahi juga membuatkan sebahagian kita sukar membuat pilihan apabila bertembung dengan program jamaah. Dalam banyak keadaan kita lebih sanggup mengorbankan jemaah dari hal-hal yang sepatutnya boleh dikemudiankan.

Jika kita merujuk dalam tulisan Fathi Yakan, Golongan yang gugur dalam perjuangan (Al-mutasaqitun ala Toriqid Dakwah) dijelaskan sebab-sebab gugur dan keadaan orang yang gugur dalam perjuangan. Sangat baik untuk menjadi tatapan para pejuang. Dari situ kita teliti diri kita. ‘Apa yang saya sudah sumbangkan kepada jamaah?’ ‘Cukupkan dengan sekadar saya menjadi ahli kemudian menunggu hari pemilihan untuk memilih jamaah Islam tanda sokongan?’

Walhasil, seruan kepada semua: letakkan ISLAM di hati, fahami keindahannya, perjuangkan kesinambungannya, biar mati kita tetap bersamanya. Doakan diri kita dan keluarga, sahabat dan saudara-mara, kawan dan tetangga diberi hidayah untuk berada dalam perjuangan dan taufiq untuk terus tsabat.

0 ulasan:

Post a Comment