GILA JAWATAN ATAU GILA KERJA?

GILA JAWATAN ATAU GILA KERJA?


NUKILAN: Assaury

Dalam sembang-sembang dengan kawan-kawan, saya banyak mendengar hal-hal berkaitan ketidaksediaan beberapa ahli jemaah menerima kedudukan ahli lain dalam jemaah. Kedudukan dalam jawatan. Lebih-lebih lagi pasca pemerintahan Kerajaan Baharu Negeri Selangor. Jawatan-jawatan di peringkat DUN, peringkat kawasan, peringkat PBT dan sebagainya bagaikan harta ghanimah yang cuba dibahagi-bahagi. Gambaran harta ghanimah mungkin bukan dari pihak penerima. Dari pihak yang membahagi. Atau mungkin gambaran tersebut tidak wujud pun. Tetapi kita dapat mengesan beberapa masalah.

Mungkin sebagai gambaran bagi menjelaskan letak duduk hal yang ingin dibincangkan ialah masalah merungut tidak diberikan jawatan. Menggendong ke hulu dan ke hilir masalah yang dilihatnya masalah besar. Memberi gambaran ketidakadilan pimpinan kawasan memberi jawatan. Ketidakadilan ADUN membahagi jawatan. Semua keputusan dilihat tidak betul. Salah. Membelakangkan orang yang layak. Dan berbagai-bagai lagi masalah lain yang cuba ditimbulkan.

Lebih buruk perangai lagi ialah terkadang si pembawa mulut ini sendiri ada dalam mesyuarat yang memutuskan sesuatu keputusan. Tetapi agak mengecewakan. Mereka tidak mampu menghormati keputusan yang dipersetujui bersama. Tidak belajar adab mesyuaratkah? Sekian lama berada dalam jemaah Islam masih tidak mampu menyerahkan wala’. Kalau pun masih tidak bersetuju, perlukah dibawa hal tersebut ke kedai kopi? Biar semua orang tahu buruknya pimpinan. Ahli jemaah jenis apa yang begitu berani membuka pintu tembok kubu untuk musuh menerobos masuk? Akhirnya jemaah sendiri yang rugi.

Ada yang lebih buruk lagi. Satu golongan yang diberi jawatan. Menolak. Apabila jawatan diserah kepada orang lain, mulalah mengata itu dan ini. Terkadang sanggup kata “Aku tak dibagi jawatan tu…?” Diberi menolak. Orang lain terima merengek. Cakap bagai orang munafik. Menipu orang lain seolah dia tidak pernah ditawar jawatan tersebut.

Ada yang lagi buruk. Tetapi sebenarnya saya sendiri tidak mampu menyebut di sini. Mungkin sahabat-sahabat sendiri boleh fikirkan sikap-sikap buruk yang berkaitan dengan masalah ini. Mungkin kita fikir masalah ini berlaku di sekitar ahli bawahan. Bagaimana dengan pimpinan? Saya bukan pimpinan. Saya tidak tahu. Saya menulis hanya untuk memberitahu; ini bukan Gila jawatan atau gila kerja. Tapi gila isim mahu menghancurkan jemaah.

Dari masalah ini kita perlu mencari punca. Punca perlu diperbetul. Jangan dibiar mengakar umbi. Kelak istana yang dilihat sangat indah memuncak, rupanya mempunyai tiang-tiang yang tidak cukup kuat menongkat. Tiangnya tiang yang tidak sesuai dengan kebesaran istana.

Mungkin banyak punca permasalahan yang akan kita jumpa. Saya hanya ingin sebut satu sahaja. Tarbiah. Tarbiah tidak ada. Mungkin tidak subur. Atau mungkin tidak cukup untuk menyuburkan hati sebahagian para pejuang. Apa yang penting ialah semua ahli jemaah perlulah sedia untuk ditarbiah. Tidak wujud lagi mekanisme mewajibkan kehadiran ke usrah. Memang tidak ada. Ini bukan kampus. Ini alam nyata. Politik nyata.

Semuanya bergantung pada kesediaan diri ahli jemaah.

Oleh itu saya menyeru kepada semua ahli jemaah yang cintakan agama, agar dapat meletakkan kepentingan jemaah lebih dari kepentingan peribadi. Buanglah sikap merasakan diri sendiri lebih. Tidak mengapa menonjol diri untuk membantu jemaah. Tetapi tetaplah bekerja walaupun hanya sebagai ahli biasa.

0 ulasan:

Post a Comment