Selangor akan perkukuhkan program belia dan masyarakat

Selangor akan perkukuhkan program belia dan masyarakat
Muhammad Arif Ismail
Mon | Jun 15, 09 | 5:30:31 pm MYT

TAMAN MEDAN, 15 Jun (Hrkh) - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pembangunan Belia, Dr. Ahmad Yunus Hairi menegaskan kerajaan Selangor akan memperkukuhkan program kemasyarakatan dengan melibatkan golongan belia.


"Saya ditugaskan dalam portfolio pendidikan dan kemsyarakatan serta akan memberi tumpuan kepada aspek ini dengan sebaik mungkin dan antara yang telah dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) supaya ada program belia dalam masyarakat.

"Kita akan mengadakan program belia dalam aktiviti kemasyarakatan yang pertama di negeri Selangor iaiatu pada minggu depan, 21 Jun di Sijangkang," beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis Perasmian Dataran Anak Muda Petaling Jaya Selatan yang telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, semalam.

Menurut beliau, program belia bersama masyarakat itu bakal diadakan, di Taman Telok Panglima Garang dan Taman Jaya Utama, di mana semua belia sama ada belia tempatan di kawasan taman itu dan juga Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ada di sekitar supaya turun bersama-sama masyarakat bagi membuat satu program belia.

Program itu katanya, "akan diadakan di padang, kerja untuk meratakan tanah merah dan kita beli tanah merah, kita juga akan melibatkan belia-belia tempatan di kawasan itu.

"Ini merupakan satu permintaan daripada Ahli Jawatankuasa Penduduk supaya kawasan padang kecil itu diperuntukkan untuk dijadikan tempat permainan kanak-kanak. Oleh itu, kita libat semua tempat lain termasuk jugak program yang diadakan di Balai Raya dan Surau yang berdekatan dengan padang itu," katanya.

Beliau menambah, pihak kerajaan negeri akan membuat program yang sama di seluruh negeri Selangor dan di setiap 24 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dilaksanakan bagi pembangunan belia.

Jadi katanya, "kita mahu semua belia di Selangor, terlibat dalam semua program kemasyarakatan dan kita tidak mahu belia ada hala tuju mereka sendiri serta masyarakat dengan hala tujunya sendiri."

Ketika diminta mengulas mengenai perasmian Program Dataran Anak Muda Petaling Jaya Selatan, Dewan Undangan Negeri (Dun) Taman Medan, beliau berkata," program yang diadakan pada hari ini pun sangat cantik, sekurang-kurangnya belia mempunyai tempat untuk mereka membuat program yang berfaedah dan sekaligus gejala sosial dapat dihapuskan.

"Apabila ada wadahnya pandailah belia buat program mereka, di samping itu, kita akan selia dan memantau program ini setiap masa agar ia berjalan dengan sewajarnya," katanya. - mks._

0 ulasan:

Post a Comment