TITIPAN PERJALANAN ; MANEK URAi

TITIPAN PERJALANAN ; MANEK URAI

nukilan: Assaury




Pada 18 Jun 2009 lebih kurang jam 11.00 pagi lebih kurang saya menerima mesej dari saudara Sayuti Ketua Lajnah Pilihanraya DPPNS. Meminta setiap kawasan agar dapat menghantar wakil ke majlis pelancaran jentera pemuda PAS untuk Pilihanraya Manek Urai. Setelah dimajukan mesej tersebut kepada sahabat- sahabat dalam Kuala Langat, tiada yang bersedia. Mungkin terlalu singkat waktu. Maklum sahaja mesej diterima hari Khamis untuk pergi ke Kelantan yang begitu jauh pada malam ini juga. Terfikir juga mungkin beginilah agaknya tarbiyyah Ikhwan Muslimun yang pernah saya dengar sebelum ini. Saya sendiri terfikir adakah saya sendiri dalam keadaan lapang sekalipun mampu untuk menerima panggilan begitu dengan senang. Saya juga teringat dalam buku Usrah Peringkat Taarif yang menjelaskan antara tujuan usrah ialah untuk membina One Button Mobilization.(entah betul entah tidak tulisan bahasa inggeris ini?) yang saya aham ialah untuk membina jamaah yang akan bergerak pantas dengan satu arahan terus.

Pada petangnya saya hubungi Ketua Pemuda Kawasan berkaitan hal ini. Dia minta saya majukan kepada sahabat-sahabat Pemuda Kawasan dengan disediakan tambang dan wang keperluan kepada sesiapa yang pergi. Setelah dimajukan maluman tersebut masih tiada yang sanggup. Saya hubungi Saudara Sayuti memberitahu Kuala Langat masih belum ada yang boleh pergi tetapi jika ada saya akan hubungi dia secepat mungkin untuk pergi bersamanya pada jam 12.00 malam 18 Jun tersebut.

Akhirnya saya sendiri membuat keputusan untuk pergi. Sebenarnya saya teringin sangat pergi kerana saya belum sekali pun jejak kaki ke bumi Kelantan itu. Kini peluang mengembara sudah di depan mata. Perkataan tak pernah jejak kaki ke Kelantan mesti dihapuskan dari lembaran pengalaman hidup saya. Dengan persiapan ala kadar saya membonceng motosikal ke Shah Alam bertemu dengan Sayuti yang baru selesai mesyuarat. Setelah Azmi, seorang lagi sahabat sampai ke rumah Sayuti, pada jam 1.00 pagi kami terus bergerak dengan Avanza Sayuti. Kami singgah ke suatu tempat di bandaraya Kuala Lumpur untuk mengambil seorang lagi peserta perjalanan. Zulfadli namanya.

Zulfadli menjadi pemandu. Perjalanan diteruskan dalam keadaan perut saya teruk berkeroncong. “Kita akan berhenti makan di Genting Sempah Insyaallah” begitu kata Sayuti. Perjalanan yang jauh itu di tengah malam buta membatkan saya tidak mengambil masa lama untuk terlena. Memang tidak sedap tidur dalam kereta. Tapi saya boleh dikira antara orang yang boleh tidur mana sahaja tempat terutama di waktu letih. Buka sahaja mata, Genting Sempah sudah pun ditnggal jauh. Allah… perut aku.

Akhirnya pada jam 3.40 pagi kami berhenti juga makan di sebuah kedai. Saya tidak ingat dimana. Tapi masih dalam Pahang. Itulah antara kelebihan saya. Tak ingat nama tempat. Yang pasti bila perjalanan diteruskan kami menghala ke Gua Musang.

Selepas sahaja makan saya mencuba pula memandu. Saya memang tidak tahu jalan. Tapi pakar-pakar perjalanan yang ada bersama saya sedia membantu. Kurang lebih sejam saya memandu. Minyak ditangki perlu diisi. Hanya ada satu Petronas yang kami temui. Itu pun tutup. Akhirnya kami berkubu di situ menunggu stesen dibuka dari jam 5.00 hingga 6.30 pagi. Pada waktu itu acara tidur bermula lagi. Subuh di situ dan meneruskan perjalanan.

Kami menuju pula arah Kota Baharu. Masuk ke kawasan Parlimen Kuala Krai. Di situ kami melalui Kg Laloh dan beberapa kampong lagi sebelum sampai ke Markaz Besar Manek Urai pada jam 8.50 pagi. Masjid Hasmiah menjadi transit kami besiap. 9.15 pagi kami bergerak menuju ke Lata Rek tempat pelancaran jentera yang memang akan berlangsung pada jam 9.30 pagi. Kenderaan kami rupanya sedang mengekori kenderaan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hasan Tantawi. Sepanjang jalan dalam kawasan Manek Urai itu dapat dilihat bendera-bendera PAS dan BN berkibar. Memang kalau nak ikut yang menang bendera ketika itu BNlah. Sepanduk-sepanduk juga sudah banyak dipasang.

Kalau hendak dikira kawasan DUN Manek Urai ini agak besar juga.agaknya hampir sasama dengan keluasan Parlimen Kuala Langat. Agaknya la… Tapi tidak mustahil juga jika kita lihat kepada penempatannya yang agak jauh antara satu sama lain. Sangat berbeza dengan kawasan DUN saya, Sijangkang. Kecil sahaja kerana kepadatan penduduk. Taman-taman perumahan tumbuh bagai cendawan.

Sampai di Lata Rek, sebuah tempat peranginan kenderaan sudah mula memenuhi kiri kanan jalan. Air terjun Lata Rek itu sangat memanggil saya. Ingin sahaja rasanya terjun ketika itu juga. Para petugas Pemuda yang hadir disediakan baju bergambarkan ‘Tok Guru’. Moto juga dituliskan di belakang baju. “Tok Guru memimpin, Manek Urai berkat”. Petugas-petugas itu ditempatkan di bawah khemah yang disediakan. 500 orang petugas Pemuda DUN yang hadir pada hari itu. Bagi saya bilangan ini sangat besar. Bukan 500 pengundi PAS. Bukan 500 penyokong PAS. Bukan 500 petugas PAS kawasan. Tetapi 500 petugas Pemuda DUN sahaja. Jadi bilangan petugas keseluruhan yang ada dalam DUN berapa? Pengundi penyokong pula? Tentulah lebih dari bilangan petugas-petugas ini. Kalau sepanjang perjalan saya memikirkan kemungkinan BN akan ada peluang melihatkan situasi dalaman parti semasa. Namun melihat suasana pagi itu saya sangat berkeyakinan kekuatan jentera dan sokongan pengundi di situ untuk PAS.

Antara yang hadir dalam majlis pelancaran ialah Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Tantawi, YB Abd Latif Abd Rahman, YB Abd Fatah Haron, dan YB Husam Musa. Ucapan demi ucapan pagi itu sangat menarik perhatian. Memberi semangat. Ditambah dengan mood para hadirin yang sangat baik seperti yang digambarkan dalam sapaan dan sorak mereka.

Perhimpunan dua jam lebih itu tamat dengan bacaan Doa Wehdah. Bacaan para peserta dengan penuh semangat menggambarkan kesatuan hati dan betapa membaranya jiwa mereka untuk melihat kemenangan Parti Islam Semalaysia. Jam 12.15 tengahari kami bergerak ke Markaz Besar Manek Urai. Menziarahi sahabat-sahabat petugas di markaz. Kemudian menuju ke rumah Penghulu Kg. Chucuh Putri selaku ketua rumah Selangor. Jaraknya lebih kurang 15 Kilometer melalui jalan Kg. Sungai Soh. Kami mendapat maklumat pada malam tersebut akan diadakan ceramah berhadapan Balai Polis Chucuh Putri.

Jam 1.30 tengahari kami bergerak menuju ke Kota Baharu untuk melawat bandar yang sejak dulu saya dengar pelbagai hal tentangnya sejak Kelantan berada di bawah pemerintahan PAS. Jarak dari Chucuh Putri ke Kota Baharu lebih kurang 100 kilometer. Dalam perjalanan kami dapat melihat dengan jelas tiga buah helikopter yang membawa rombongan Timbalan Perdana Menteri yang datang ke Sg Soh. Di Kota Baharu kami makan di Pasar Siti Khadijah. Seronok betul rasanya. Lauk pauk yang ditawarkan besar-besar dan sangat berpatutan. Selepas solat Asar dan Zohor secara jamak, saya membeli belah pakaian di tingkat atas Pasar Siti Khadijah. Jam 6.00 petang kami bergerak menuju ke Manek Urai semula. Solat Maghrib dan Isyak secara jamak di Masjid Hasmiah. Kemudian terus ke Kg. Chucuh Putri untuk mengikuti ceramah yang disampaikan oleh YB Iskandar Samad dan Ustaz Tuan Ibrahim Tuan. Keletihan yang amat sangat membuatkan saya tertidur di tengah padang itu. Jam 12.00 tengah malam kami bergerak pulang ke Shah Alam.

Kini saya sudah pun mengakhiri sebuah enigma tidak pernah jejak kaki ke Kelantan

0 ulasan:

Post a Comment